Assalamualaikum warohmatullah hiwabarokatuh. Selamat Ulangtahun Hari Kelahiran buat diri sendiri pada hari ini. Melangkaui satu lagi tangga umur menganjak tahun ke 3 dalam 3 series. 33 tahun sudah Allah kurnai diri ini dengan nikmat menyedut oksigen memenuhi peparuku. Nikmat tubuh badan yang lengkap dan melengkapi dalam urusan seharian. Betapa kaki dan tangan ini berfungsi menjalankan pelbagai kerja. Nikmat otak dan akal untuk berfikir..ya masih waras untuk segala urusan di bumi Allah ini. Nikmat yang paling besar bila Allah swt kurniai anugerah terindah iaitu anak-anak yang sejahtera, suami yang beriman. Itulah syurga dunia moga berpanjangan nikmat ini hingga syurga firdausi. Tidak ketinggalan masih aku beruntung Allah swt menganugerahi kedua ibubapa yang masih sejahtera melihatkan anak-anaknya dihadapan mata. Abah sudah berpencen dengan menjalankan fardhu kifayahnya (membawa van jenazah dan katerer kecil-kecilan), itu yang abah gemar dan seronok lakukan..moga Abah gembira dalam meniti hari-hari mendatang dengan melakukan kerja-kerja ini. Mama masih berbaki 3 atau 4 tahun servis, masih lagi bertenaga untuk bekerja, sakit- sakit manja jua kadang-kala untuk banyakkan berehat dirumah. Almaklumlah mama rasa sunyi bila bekerja seorang..kalau dulu ada abah dipejabat sama-sama pergi minum dan makan tengahhari bersama. Kini banyak masa dipejabat tanpa Abah temani. Begitulah keadaan bila menganjak 5 siries.. Moga Allah swt memberi petunjuk dan hidayah..Jika ada rezeki InsyaAllah akan Allah buka hati untuk ke Baitullah. Amienn. Umur adalah amanah Allah swt yang akan ditanya di akhirat kelak. Inilah peringatan bagi diriku. Peningkatan umur dari satu tahun ke satu tahun bukan menandakan umur kita makin banyak tetapi sebaliknya ia makin kurang. Bermuasabah diri dalam menginsafi umur yang telah berlalu. Berapa banyakkah amal soleh yang telah dikerjakan dan renungan diri terhadap maksiat dan dosa yang telah teriring selama ini? Jawapan ini hanya dapat bila diri bertanya dan cerminkan diri suluhlah hati. Jawapannya berat kepada kecuaian dan kealpaan. Aku bertaubat kepada Mu Ya Allah. Sisa umurku yang berbaki ini, moga Allah dapat dorongi aku untuk menanam azam yang kuat dan benteng yang kukuh dalam melaksanakan perancangan di masa akan datang ke arah jalan-jalan Allah. Jadikan aku manusia yang terus hijrah ke jalan Mu ..Ya Allah. Hari kelahiran ini adalah hari bersejarah buat mama ku..melahirkan ku sebagai anak sulung dalam keluarga. Hasil cinta kedua ibubapaku yang sabar menanti kelahiran cahayamata dambaan mereka. Betapa sakit menanti kelahiranku dan seterusnya menyusuri setiap tahun membesarkan ku sehingga menjadikan aku seorang insan kini. Tanpa mereka aku kini bukan siapa-siapa. Bertuah si anak kerana mengenali kedua ibubapanya. Bertuah si anak bila kedua ibubapanya dapat menjadikan dia 'orang' tika ini. Moga Allah cucuri rahmat ke atas kedua ibubapa ku. Hari ini adalah hari mereka, biar mereka lihat anak mereka ini seorang yang boleh diharapkan mendoakan dan menjalankan perintah Allah swt. Moga anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang ini dapat membalas jasa mereka yang bukan sedikit bahkan tidak dapat dikirakan betapa besar jasa mereka. Andai hendak ditukar gantikan dengan wang ringgit, aku akan berhutang dan jatuh muflis seluruh hidup ini. Hanya dengan satu cara sahaja mengangkat kebaikan buat mereka iaitu doa anak yang solehah untuk mengangkat martabat mereka disisi Allah swt. Allah maha mendengar.
Ya Allah detik kelahiran aku Kau jadikan hanya mengenali ibuku..dakapannya mendamaikan. Kau temani aku dengan kasih sayangnya. Tiada berpakaian ibuku membaluti ku dengan selimut memberi kehangatan. Membesarkan aku dengan penuh tarbiyah dengan kepayahan. Andai aku tidak mengenali apa itu ibu... adakah aku akan hidup tika ini?? Allah swt lebih mengenali dan mengetahui.
Hai la anak..dirimu bukan siapa-siapa. Kelahiran dirimu kebumi ini bukan tercipta dengan sendirinya. Hidupmu mempunyai peranan dan tanggungjawab yang besar. Andai umurmu hanya sia-sia..itu jualah yang ditanya Tuhanmu di akhirat kelak. Wallahualam.
1 comment:
amin
Post a Comment